Ahad, 27 September 2009


Kebajikan sosial menurut (Midgley,1997), mendefinisikan kebajikan sosial sebagai “ satu sistem teratur yang mempunyai pelbagai perkhidmatan sosial yang tujuannya untuk membantu masyarakat meningkatkan kualiti hidup yang lebih sejahtera”. Manakala di dalam (Skidmore, 1997) menjelaskan bahawa makna kebajikan sosial adalah satu sistem perkhidmatan sosial dan institusi yang tersusun dan terancang, direka untuk membantu individu dan kumpulan untuk mencapai taraf kualiti hidup yang standard, memperbaiki hubungan sosial dan perseorangan yang akhirnya membolehkan mereka membina kapasiti dan meningkatkan kesejahteraan hidup yang harmoni berdasarkan kepada keperluan keluarga dan masyarakat. Penekanan kebajikan masyarakat bukan sahaja tertumpu kepada kerajaan sahaja malah penglibatan NGO turut diperlukan.

Kebajikan sosial merangkumi kebajikan dalam memenuhi keperluan asas individu atau masyarakat mengikut aspek fizikal, ekonomi, pendidikan atau keagamaan. Namun begitu, bagi menjayakan kesemua aspek ini, pelbagai cabaran perlu dihadapi tambahan pula masih terdapat diskriminasi perkauman di sesetengah tempat. Walaupun tidak kesemuanya terlibat, sedikit sebanyak ia tetap akan mempengaruhi kejayaan kebajikan. Mampukah kerajaan hari ini memberi sumbangan kebajikan andai masih ada kemunduran dalam mencapai perpaduan masyarakat. Adalah dengan ini wujudnya pelbagai konsep seperti Wawasan 2020, Islam Hadhari dan terkini konsep satu Malaysia yang memberi penekanan perpaduan dan keadilan sosial kepada semua kaum. Kesemua konsep ini menekankan terlebih dahulu kepada perpaduan dan seterusnya kepada kebajikan sosial secara holistik.

Kebajikan masa kini semakin meluas diperkatakan, objektif kebajikan telah dapat bantu menaikkan taraf kebajikan secara menyeluruh kepada semua golongan yang memerlukan. Kebajikan ini menekankan kepada pembelaan, keadilan dan penjagaan hak kemanusiaan kepada golongan wanita, kanak-kanak, warga emas, golongan kurang upaya, golongan papa, terdampar dan golongan penagih dan golongan minoriti.
Dalam berhadapan dengan usaha meningkatkan kebajikan ini, pelbagai cabaran perlu di hadapi dengan telus kerana tanpa pemantauan dan susulan kebajikan yang diberikan tidak akan mampu membendung permasalahan yang ditanggung.

Perubahan terus berlaku dan kebajikan di masa hadapan akan menekankan lebih kepada semua golongan tanpa mengira mereka berhadapan dengan masalah atau tidak. Hal ini kerana, penjagaan kebajikan seseorang mampu memberi kualiti hidup yang baik di samping meningkatkan taraf hidup masyarakat yang bertamadun. Gabungan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NGO, pekerja sosial dan sukarelawan mampu membantu dalam menjadikan kebajikan satu keutamaan kepada semua golongan. Peningkatan perkhidmatan dalam kebajikan sosial akan terus meningkat dengan adanya kursus pengajian kerja sosial, kerja kebajikan, sains kemasyarakatan, pembangunan komuniti dalam institusi-institusi pengajian tinggi.

Perjuangan kebajikan di masa hadapan akan diteruskan demi kesejahteraan semua kelompok masyarakat di muka bumi Malaysia ini. Collins Educational Dictionary of Social Work (1996) mendefinisikan dasar sosial sebagai “ governmnet policy in the area of welfare, and the academic study of its development, implementation and impact.”(hlm.350). Hal ini jelas menunjukkan dasar sosial yang ada harus diguna pakai untuk memastikan cabaran kebajikan dapat di atasi dengan menjadi teras utama kepada konsep dasar sosial negara kebajikan. Selain itu, penggunaan dasar yang telah dilaksanakan kerajaan seperti dasar Keluarga Negara yang terkandung Akta Keganasan Rumah Tangga (1994) Akta Perlindungan Wanita dan Gadis(1974), Akta Keluarga Islam, Akta Perkahwinan dan Penceraian (1973), dan Akta Kanak-kanak (2001) akan terus memperjuangkan kebajikan sosial negara di masa sekarang dan masa hadapan.



Samir Muhazzab Amin & Winny Abdul. (2009), Pengantar Kerja Sosial. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd: Kuala Lumpur.

Siti Hajar Abu Bakar Ah.(2002), Pengantar Dasar Sosial Malaysia. Penerbit Universiti Malaya: Kuala Lumpur.

0 Comments:

Post a Comment